Kesemua 44 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan KEDA Sungai Tengas di sini, malam tadi.

BANDAR BAHARU – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan KEDA Sungai Tengas di sini, malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS itu dibuka pada jam 8.30 malam selepas beberapa kawasan dinaiki air akibat limpahan Sungai Tengas.

Beliau berkata, setakat awal pagi ini seramai 44 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.

“Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Tengas, Kampung Air Itam Dalam, Kampung Cherok Meranti, Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar.

“Empat mukim turut terlibat dalam kejadian ini iaitu Mukim Sungai Batu, Mukim Selama, Mukim Bagan Samak dan Mukim Serdang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPS itu dibuka pada jam 8.30 malam selepas beberapa kawasan dinaiki air akibat limpahan Sungai Tengas.

Menurut beliau, daripada jumlah mangsa yang dipindahkan, seramai 14 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa ditempatkan di PPS berkenaan.

“Turut dipindahkan ialah lima kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan selain tiga bayi terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan.

“Terdapat juga empat warga emas dipindahkan membabitkan dua lelaki dan dua perempuan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, keadaan cuaca di kawasan terjejas masih hujan manakala paras air Sungai Terunsing di Kampung Sungai Tengas berada pada tahap bahaya.

“Operasi pengurusan bencana membabitkan 32 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Daerah Bencana Bandar Baharu (PDBB) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast