KOTA TINGGI – Sepasang kekasih warga Singapura rentung selepas kereta dinaiki terbabas dan kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini hari ini.
Kejadian tersebut mengorbankan Yeo Tian Wen Leong yang berusia 34 tahun dan Ng Puay Ying berumur 33 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 9 pagi.
“Kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki terbabit bersama-sama wanita di tempat duduk depan penumpang. Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing.
“Kereta berkenaan kemudian terbabas sendiri lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh lima tahun.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Sepasang kekasih warga Singapura rentung selepas kereta dinaiki terbabas dan kemalangan di Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi hari ini.
















