KUALA LUMPUR – Lari daripada tema kebiasaan seperti percintaan, seram dan komedi, filem Takdir Akhir: Last Dive tampil mengangkat isu kemusnahan ekosistem marin dan ancaman terhadap keterjaminan makanan.
Isu utama yang cuba disampaikan menerusi naskhah itu mahu memberi mesej konservasi laut yang cukup mendalam apabila berjaya menterjemahkan kepentingan menjaga terumbu karang bukan sahaja untuk keindahan dasar laut.
Malah filem terbitan Datin Dr Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo memaparkan alam semula jadi itu sebagai ‘kilang’ utama sumber ikan komersial yang menjadi punca makanan manusia setiap hari.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan, Datuk Azahari Othman, memuji usaha yang dilakukan pasukan produksi terbabit yang dihasilkan oleh Produksi Seni 2020 yang memperjuangkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan kehidupan laut.
Beliau berkata, antara babak yang paling menyentuh perasaan penonton adalah paparan aktiviti bom ikan yang masih berleluasa.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa ratusan tahun untuk membesar, malah menyebabkan ikan mati sia-sia dengan kualiti yang merosot.
“Selain itu ia turut menonjolkan ancaman ‘ghost net‘ atau pukat hantu yang menjadi perangkap maut kepada hidupan laut di kawasan terumbu karang.
“Isu pukat hantu ini sangat besar. Ia menyebabkan ikan kita mati begitu sahaja. Sebab itu, inisiatif membuang pukat ini bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat komersial sangat digalakkan untuk menyelamatkan khazanah laut kita,” katanya ketika menerima undangan ke pratonton khas Takdir Akhir: Last Dive di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada tayangan itu Penerbit Eksekutif bersama filem itu iaitu Wendy dan Nancie.
Tidak ketinggalan penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan beberapa pensyarah universiti dan penuntut daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Takdir Akhir: Last Dive bergenre doku filem menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim (bekas Miss Universe Malaysia).
Filem itu turut menampilkan kemunculan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi dan penyanyi Fauziah Latiff bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Azahari menambah, salah satu mesej paling kuat yang diselitkan adalah mengenai pencemaran sampah plastik di pesisir pantai.
“Pelancong diingatkan agar tidak membuang sampah ke dalam laut kerana ia mengganggu kehidupan marin secara drastik. Penonton juga diberi kesedaran betapa bahayanya plastik yang sering dianggap sebagai obor-obor oleh penyu.
“Apabila plastik tersebut dimakan, ia akan tersekat di dalam perut dan akhirnya membawa kepada kematian haiwan terbabit. ” ujarnya.
Azahari turut menyifatkan filem itu berjaya mengekalkan momentum suspen dan keterujaan penonton dari awal sehingga adegan terakhir selain sesuai ditonton dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette

















