Anurseetha menjadikan penulisan buku berjudul Steps Toward Home sebagai medium menyampaikan mesej kemanusiaan serta menyumbang semula kepada masyarakat menerusi jualannya.

SEBERANG PERAI – Penulisan kreatif kini dilihat antara medium dalam kalangan anak muda untuk menyampaikan mesej kemanusiaan serta menyumbang semula kepada masyarakat.

Ia terbukti melalui inisiatif seorang graduan diploma pengajian perniagaan di Politeknik Sultan Azlan Shah yang menghasilkan karya berteraskan pengalaman dan nilai kemanusiaan sebagai usaha memberi kesedaran kepada pembaca.

Penulis muda, S. Anurseetha, 22, berkata, minat mendalam terhadap dunia penulisan mendorongnya menghasilkan karya sulung berjudul Steps Toward Home yang mengetengahkan tema ketabahan, kehilangan dan pencarian makna kehidupan.

Menurutnya, karya tersebut diinspirasikan daripada realiti kehidupan segelintir individu yang berdepan kesunyian, konflik keluarga dan cabaran emosi sejak usia muda.

“Tidak semua orang membesar dalam keadaan sempurna, tetapi setiap orang masih berhak mencari kehidupan yang lebih baik dan rasa dihargai.

“Justeru saya harap karya ini mampu memberi sedikit kekuatan dan membuatkan pembaca rasa mereka tidak keseorangan,” katanya di sini, hari ini.

Graduan yang merancang menyambung pengajian ke peringkat ijazah itu berkata, penulisan juga menjadi platform untuk golongan muda menyuarakan pandangan serta berkongsi pengalaman kehidupan dengan cara lebih positif.

“Malah, saya juga akan menyalurkan sebahagian hasil jualan buku ini kepada golongan memerlukan selain berharap lebih ramai anak muda menggunakan hasil kreativiti mereka untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Buat masa ini, jumlah jualan masih dalam perkembangan dan sambutan diterima adalah menggalakkan dalam kalangan pembaca pelbagai usia yang tertarik dengan tema ketabahan serta pencarian identiti diri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast