MAKKAH – Jemaah haji dilarang merokok di dalam bilik, bangunan dan sekitar bangunan penginapan masing-masing demi keselesaan orang ramai.
“Kami pengurusan Lembaga Tabung Haji melarang keras jemaah haji merokok di kawasan bangunan penginapan,” kata Pengurus Maktab 63 (Hotel Al Tayseer), Shahidan Taib.
Oleh itu, beliau meminta jemaah haji menjaga disiplin masing-masing kerana perbuatan merokok di tempat awam boleh mengganggu orang awam.
Menurutnya, pesanan itu selalu dimaklumkan kepada semua jemaah haji semasa sesi taklimat pengurusan sebaik sahaja mereka tiba di maktab.
“Bila kita menganggu keselesaan orang ramai, jadi macam mana ibadah kita? Kita tidak berhubung baik dengan orang ramai. Kita tidak berhubung baik dengan rakan-rakan kita. Kita cuma nak berhubung baik dengan Allah sahaja. Mungkin itu tidak memadai.
“Kita kena berhubung baik dengan Allah, dengan masyarakat pun perlu begitu. Itu tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, larangan sama juga bagi memasak di dalam bilik penginapan jemaah haji.
“Di Al Tayeser ini memang tidak dibenarkan memasak, di hotel mana-mana pun sama. Kalau Maggi cup tu bolehlah, tetapi kalau memasak tu tidak dibenarkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















