Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih cermat sebelum mengeluarkan kenyataan balas berkait titah Diraja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semalam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan dibuat Anwar itu seolah-olah menggambarkan perkara yang dibangkitkan secara terbuka oleh Tengku Hassanal tidak mengambil kira langsung realiti ekonomi semasa khsususnya membabitkan negeri Pahang.

“Saya melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang dilihat kurang tepat dan tidak wajar.

“Persepsi sebegini bukan sahaja tidak tepat, malah tidak mencerminkan kepekaan seorang pemimpin tertinggi negara terhadap institusi diraja dan keadaan sebenar di peringkat negeri.

“Perlu difahami bahawa perkara yang dibangkitkan dalam titah tersebut bukan sekadar isu ekonomi, tetapi berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat dan kelestarian negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, hakikatnya, banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius, menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek.

Keadaan itu kata Timbalan Presiden Pas berkenaan, meningkatkan risiko limpahan air dan banjir, khususnya ketika musim hujan.

Justeru, beliau berkata, kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut.

“Namun, usaha ini memerlukan kos yang tinggi. Dalam konteks ini, cadangan untuk menjual pasir yang dikorek bukan sahaja langkah praktikal bagi menampung kos, malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan.

“Malangnya, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir telah menjejaskan usaha ini. Tanpa saluran pasaran yang mencukupi, lambakan pasir akan terus berlaku, sekali gus memburukkan lagi keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan,” jelasnya.

Beliau menggesa agar isu berkenaan dilihat secara menyeluruh, bukan semata-mata dari sudut dasar ekonomi lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan keperluan mengurus sumber secara bijaksana.

Selain itu, katanya, sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan seharusnya lebih cermat, berasaskan fakta dan mengambil kira sensitiviti terhadap institusi diraja.

“Sehubungan itu, saya menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang untuk mengurus sumbernya secara lebih efektif, selaras dengan kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir. Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibatnya,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan yang baik bukan sekadar mempertahankan dasar, tetapi bersedia mendengar, memahami dan menyesuaikan pendekatan berdasarkan realiti di lapangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast