KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mendakwa parti itu kini berjaya menggantikan UMNO sebagai parti Melayu utama berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 2023.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan jangka hayat politik Bersatu tidak menggugat keyakinan parti itu terhadap sokongan rakyat ketika ini.
Menurut beliau, keputusan PRU15 dan PRN enam negeri jelas menunjukkan Bersatu memperoleh mandat yang lebih besar berbanding UMNO.
“Pada PRU15, Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen berbanding UMNO yang hanya memperoleh 26 kerusi.
“Manakala dalam PRN enam negeri pada Ogos 2023, Bersatu berjaya memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding UMNO yang hanya memperoleh 19 kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan rakyat memberi kepercayaan yang lebih tinggi kepada Bersatu berbanding UMNO.
“Bersatu ganti UMNO sudah selesai. Kini fokus utama adalah memastikan Perikatan Nasional (PN) pula menggantikan gabungan PH-BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Harris turut mendakwa UMNO kini semakin lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) demi kekal berada dalam kerajaan.
Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai menggadaikan prinsip perjuangan Melayu dan Islam yang selama ini menjadi asas perjuangan parti tersebut.
Beliau turut mengingatkan bahawa PKR dan Bersatu yang diasaskan bekas pemimpin UMNO berjaya memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO pada PRU15.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu tidak perlu mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata untuk memastikan pemimpin tertentu terlepas daripada tindakan mahkamah.
“Bersatu memilih mempertahankan maruah perjuangan daripada dilihat tunduk kepada parti-parti lain demi kuasa politik,” katanya. -MalaysiaGazette
















