KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah dan Perlis dimulakan hari ini sebagai langkah segera mendepani situasi penyusutan paras air empangan yang kini berada pada tahap waspada dan kritikal.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan di Facebook berkata, operasi pada hari ini membawa muatan empat tong bersamaan 6,000 liter larutan garam menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
“Seawal 8 pagi tadi, Pasukan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah membuat bancuhan air garam dan loading dalam pesawat.
“Pasukan OPA juga diberi taklimat pelaksanaan kawasan operasi sebagai persediaan sebelum penerbangan,” katanya.
Menurutnya, lokasi tumpuan pembenihan awan adalah di empangan Timah Tasoh di Perlis dan empat kawasan empangan di Kedah iaitu Ahning, Pedu, Beris dan Muda.
“Pelaksanaan OPA ini adalah sebagai salah satu usaha bagi membantu meningkatkan paras air empangan daripada terus menyusut.
“Keadaan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan bekalan air bagi sektor pertanian serta penggunaan domestik di kawasan utara terjejas. Walaupun dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat hujan yang agak banyak di kawasan utara, namun kuantiti air hujan yang masuk ke dalam empangan adalah sangat minimum,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, OPA akan dilaksanakan hari ini, 12, 17 dan 19 Mei nanti. – MalaysiaGazette
















