CHENNAI – Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu, C Joseph Vijay memberi jaminan akan menjadi suara rakyat serta membawa perubahan menyeluruh dalam pentadbiran negeri itu selepas secara rasmi mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Dalam ucapan sulung penuh emosi di Stadium Nehru, Chennai, Presiden Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu berkata, kemenangan parti berkenaan bukan sekadar kejayaan politik biasa, sebaliknya kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan sebenar dalam landskap politik Tamil Nadu.
Menurut beliau, rakyat khususnya golongan muda telah menghantar mesej jelas bahawa mereka mahukan kepimpinan lebih bersih, telus dan dekat dengan suara rakyat.
“Hari ini bukan kemenangan saya semata-mata. Ini adalah kemenangan rakyat Tamil Nadu yang percaya perubahan masih boleh berlaku.
“Mandat ini adalah amanah besar dan saya tidak akan mensia-siakannya,” katanya di hadapan ribuan penyokong yang memenuhi stadium berkenaan.
Vijay berkata, kerajaan pimpinannya akan memberi tumpuan terhadap isu rakyat termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pembangunan belia serta kebajikan golongan miskin dan pertengahan.
Menurutnya, kerajaan TVK juga mahu memastikan pembangunan ekonomi negeri berjalan seiring dengan kebajikan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana komuniti.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pentadbiran baharu Tamil Nadu akan lebih terbuka menerima pandangan rakyat serta mengamalkan tadbir urus lebih telus.
“Kita mahu membina Tamil Nadu yang lebih kuat, progresif dan bersatu. Semua rakyat berhak menikmati pembangunan dan peluang yang adil,” katanya.
Dalam ucapan sama, Vijay turut menghargai sokongan luar biasa rakyat terhadap TVK walaupun parti itu baru ditubuhkan beberapa tahun lalu.
Katanya, kebangkitan TVK membuktikan rakyat kini semakin berani membawa perubahan serta tidak lagi terikat sepenuhnya kepada politik tradisional.
“Kita telah membuktikan bahawa kuasa sebenar berada di tangan rakyat. Apabila rakyat bersatu, perubahan pasti berlaku,” katanya lagi.
Suasana di sekitar Stadium Nehru bertukar gamat apabila ribuan penyokong melaungkan slogan TVK dan nama Vijay sebaik beliau selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.
Penyokong parti itu mula memenuhi kawasan sekitar stadium sejak awal pagi dengan sebahagian mereka membawa bendera TVK dan poster Vijay bagi meraikan detik bersejarah tersebut.
Kejayaan TVK turut dianggap antara kejutan terbesar politik India apabila parti itu berjaya menamatkan dominasi politik tradisional Tamil Nadu yang sebelum ini dikuasai DMK dan AIADMK selama beberapa dekad.
Selain Vijay, beberapa pemimpin kanan TVK turut mengangkat sumpah sebagai anggota kabinet kerajaan negeri Tamil Nadu.
Pilihan raya Tamil Nadu 2026 menyaksikan TVK memperoleh sokongan besar rakyat khususnya pengundi muda yang dilihat memainkan peranan penting dalam kemenangan parti berkenaan.
Vijay sebelum ini aktif turun padang bertemu rakyat di seluruh Tamil Nadu selain mengetengahkan pelbagai isu berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan masyarakat sepanjang kempen pilihan raya negeri. – MalaysiaGazette















