JOHOR BAHRU – Sejumah RM18.5 juta diperuntukkan untuk 60,000 pelajar di seluruh negara bakal menerima lesen motosikal secara percuma menerusi Program MyB2S pada tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,200 pelajar di Johor dikenal pasti untuk menyertai program berkenaan membabitkan peruntukan RM2.46 juta.
“Program ini dilaksanakan bagi membantu pelajar khususnya pelajar tingkatan empat dan lima mendapatkan lesen motosikal B2 secara sah, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dalam kalangan golongan muda.
“Program MyB2S turut melengkapi pelaksanaan Program MyLesen B2 yang diperkenalkan sejak 2023 bagi membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu secara sah pada kos percuma atau subsidi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian MyLesen B2 Sekolah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek.
Siew Fook berkata, bagi tahun ini, seramai 30,000 peserta dijangka menerima manfaat menerusi Program MyLesen B2 dengan peruntukan keseluruhan RM10.5 juta.
Untuk rekod statistik menunjukkan lebih 6,000 kemalangan maut dilaporkan setiap tahun di mana 65 peratus daripadanya membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal.
Katanya, kebanyakan daripada kemalangan maut yang berlaku sebelum ini membabitkan purata umur antara 16 hingga 25 tahun termasuk pelajar sekolah.
Jelasnya, inisiatif berkenaan dilihat mampu mengurangkan jumlah penunggang tanpa lesen selain memberi peluang kepada rakyat khususnya golongan muda dan B40 memiliki lesen memandu yang sah.
Inisiatif itu ujar beliau, dilihat wajar setelah mendapati ramai pelajar menunggang motosikal ke sekolah dan mod pengangkutan itu adalah yang utama bagi mereka lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.
“Ramai pelajar terutamanya berada di tingkatan 4 dan 5 ini membawa motosikal tanpa lesen ke sekolah, ini satu masalah yang besar kepada kita. Jika kita, nak buat sekatan jarak raya, ramai pelajar sekolah nanti kena pula dikenakan tindakan, lebih teruk mereka tidak pergi ke sekolah.
“Oleh itu, kita mengambil pendekatan mencari jalan penyelesaian, tambahan pula mod pengangkutan bas awam juga berkurangan. Jadi, kita bantu pelajar dari keluarga B40 untuk dapatkan lesen secara percuma,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan akan memain peranan dengan berkongsi maklumat dan mengenal pasti pelajar yang layak untuk mendapat inisiatif ini.- MalaysiaGazette
















