Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto SADIQ SANI, 21 JANUARI 2026
Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto SADIQ SANI, 21 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas digantung keahlian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa hari ini, menjadikan beliau wakil rakyat keenam yang dikenakan tindakan itu oleh parti berkenaan.

Dalam satu notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, Mujammad Islahuddin didapati melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Dengan penggantungan itu, maka YB secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” kata notis berkenaan.

Bagaimanapun, menurut notis tersebut, Muhammad Islahuddin masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Dalam pada itu, Muhammad Islahuddin menegaskan, beliau tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap pengantungan keahlian oleh Bersatu.

“Buat masa ini tidak (akan buat rayuan),” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.

Ditanya faktor penggantungan keahlian beliau, Muhammad Ishauddin berkata perkara itu mungkin disebabkan kehadiran beliau dalam program RESET yang dianjurkan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 15 Februari lalu.

Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut digantung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Manakala yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast