KUALA LUMPUR – Bekas pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dan menerima suapan RM500,000 berkaitan pembekalan papan pintar interaktif, dua tahun lalu.
Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik kelihatan tenang menggeleng kepala sebelum membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Edmund didakwa memperdayakan Teresa untuk mempercayai hanya dua sekolah di Parlimen Seputeh memohon sumbangan Interactive Smart Board sedangkan terdapat 16 sekolah lain turut membuat permohonan sama.
Dia didakwa dengan sengaja mendorong Teresa bersetuju membenarkan permohonan dibuat menerusi sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh yang mana ahli Parlimen itu tidak akan memberikan persetujuan sekiranya tidak diperdaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Off Jalan Kuchai Lama di sini pada Jun 2024.
Bagi pertuduhan berkenaan, Edmund didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Pejabat Ahli Parlimen Seputeh didakwa menerima wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai suapan.
Wang berkenaan didakwa diterima sebagai balasan membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif dan peralatan berkaitan untuk 16 sekolah di kawasan Parlimen Seputeh melalui syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bekas pembantu khas MP Seputeh hadir awal ke mahkamah, cuba elak media
















