ISKANDAR PUTERI – Dua penyelia tapak pembinaan maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 25.3, Lebuh Raya Linkedua, arah Senai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 5.40 pagi selepas kereta dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sebelum hilang kawalan.
“Kereta kedua-dua mangsa berkenaan kemudian melanggar besi pembahagi jalan lalu dirempuh sebuah motosikal dari arah belakang yang tidak sempat membrek.
“Akibat kemalangan, pemandu iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun tercampak keluar dari kereta dan terjatuh ke lorong kanan sebelum digilis sebuah lori dan dua kereta akibat tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Katanya, seorang lagi mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun tercampak keluar dan jatuh ke bawah jambatan lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kumarasan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322.- MalaysiaGazette
















