JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket selepas menahan enam lelaki dan merampas dadah bernilai RM4.77 juta dalam empat serbuan di rumah sekitar bandar raya ini minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, mereka yang ditahan berusia 27 hingga 50 tahun di sekitar kawasan Johor Bahru.
Menurutnya, operasi pertama, kedua dan ketiga dilakukan pada 7 Mei lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK).
“Dalam serbuan tersebut lima lelaki ditahan dan berjaya merampas dadah dianggarkan 27.54 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM3.65 juta.
“Sindiket ini yang aktif sejak Mac lalu menggunakan modus operandi menjadikan apartment ‘gated and guarded’ sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya
sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan ditahan reman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Mei ini.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati empat suspek mempunyai rekod melibatkan dadah.
Jelas beliau, nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM3.86 juta.
Sementara dalam operasi kedua pada 8 Mei lalu, Chuan Huat berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Utara.
Pihaknya berjaya menahan seorang lelaki 21 tahun di sebuah rumah sewa Taman Perling di sini serta merampas dadah dianggarkan berjumlah RM1.12 juta.
Menurutnya, rampasan melibatkan 23 botol plastik melibatkan anggaran 11.54 liter disyaki cecair ketamin dan dadah disyaki MDMA, ekstasi serta peket ketamin anggaran berat keseluruhan 3.89 kilogram.
“Suspek berperanan sebagai pengedar dadah dan sindiket ini telah aktif sejak Januari lalu. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin,” ujarnya.
Beliau memberitahu, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan rumah teres sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau suspek mempunyai rekod melibatkan dadah. Suspek kini ditahan reman bermula 9 hingga 15 Mei ini,” katanya.
Tambahnya kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana kesemua dadah yang dirampas dalam kesemua operasi itu mampu merosakkan seramai 102,332 orang yang menggunakannya.- MalaysiaGazette
















