JOHOR BAHRU – Masalah kesesakan laluan lori ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, di sini akan dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana isu berkaitan KSAB termasuk operasi mesin pengimbas di kawasan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Kesesakan lalu lintas di semua laluan di Tambak Johor dan juga di KSAB sememangnya menjadi perhatian utama pihak kerajaan.
“Pengimbas itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) dahulu yang telah diambil alih oleh AKPS. Jadi, kita akan memberikan maklum balas kepada KDN setelah agensi itu berada di kementerian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Siew Fook berkata, kerajaan juga ada satu mekanisme khas untuk menangani isu itu iaitu melalui jawatan kuasa Kabinet Kesesakan Tambak Johor.
Jelasnya, semua isu operasi berkenaan akan dibincang dan dilaksanakan dan diuruskan melalui platform tersebut.
Terdahulu, media melaporkan ratusan lori yang ingin memasuki Singapura tersadai sehingga empat jam di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), didakwa berpunca pemeriksaan kenderaan berat di KSAB.
Keadaan kesesakan di laluan kenderaan berat itu dikatakan berlaku sejak pertengahan Februari lalu, sekali gus menimbulkan keresahan pemandu lori yang terpaksa berdepan situasi itu sehingga kini.
Situasi itu dipercayai susulan pelaksanaan pemeriksaan imbasan wajib ke atas semua kenderaan berat, dengan KSAB hanya mempunyai satu mesin pengimbas bagi lori menuju ke Singapura.- MalaysiaGazette
















