JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menimbang cadangan meletakkan anggota keselamatan di setiap sekolah sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan.
Menterinya, Fadlina Sidek berkata, garis panduan baharu sedang dimuktamadkan bagi menambah baik garis panduan sedia ada susulan dua murid maut depan sekolah pada April dan awal bulan ini.
“Pelbagai tambah baik dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah yang disertai pelbagai agensi dan pihak terlibat.
“KPM sedang muktamadkan garis panduan keselamatan baharu menerusi pembabitan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah yang dianggotai pakar dari pelbagai latar belakang.
“Mengenai cadangan untuk meletakkan anggota keselamatan di sekolah, KPM akan teliti cadangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Pada 12 April lalu, seorang pelajar tingkatan satu maut dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara pada 5 Mei lalu, seorang pelajar perempuan tahun dua maut akibat dilanggar van di hadapan pagar utama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat.
Fadlina berkata, KPM sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat agar selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.
Katanya, usaha itu sudah digerakkan menerusi Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai wakil pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Jawatan ini turut diwakili pelbagai wakil bukan kerajaan serta wakil komuniti bagi memastikan bahawa isu-isu yang terkait dengan keselamatan di sekolah diberi perhatian.
“Kita juga telah mengarahkan kepada guru sekolah dan pengetua untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dengan tegas, isu keselamatan ini tidak ada kompromi,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















