Gelagat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wanita bersama ahli keluarga pada sesi lapor diri pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Wiramuda Negara siri 3/2025 di Kem Wataniah 515, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 07 SEPTEMBER 2025 (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) Kem Bukit Keteri, Perlis menjadi lokasi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 3 selama 45 hari bermula pada 11 Julai hingga 24 Ogos ini.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkata, semakan boleh dibuat oleh bakal pelatih bagi daftar kelahiran tahun 2008 melalui Sistem ePLKN 3.0 pukul 3 petang hari ini.

“Bagi memastikan proses kelancaran pendaftaran dan pentadbiran, para pelatih yang terpilih selepas melakukan semakan perlu membuat pengesahan kehadiran melalui sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 19 JUN 2026 (Jumaat) bagi tarikh akhir tawaran,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu jabatan itu berkata, penambahan lokasi baharu itu kini melibatkan tiga lokasi utama secara keseluruhan pada tahun ini, selain Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.

Menurutnya, pada peringkat awal pengoperasian (fasa pertama), Kem Bukit Keteri akan memperuntukkan 120 tempat yang bakal menempatkan pelatih wanita bagipelaksanaan Siri 3/2026.

“Kem ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini dan berkeupayaan menampung hampir 500 orang pelatih pada satu-satu masa.

“Kemudahan di kem tersebut turut dibangunkan dan ditambahbaik berkonsepkan fasiliti moden yang merangkumi blok penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas, fasiliti ibadah serta kemudahan latihan yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.

Tambah JLKN, bagi siri latihan PLKN 3.0 seterusnya, JLKN akan membuat pengumuman secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, bakal pelatih tahun semasa diingatkan supaya sentiasa peka terhadap hebahan rasmi JLKN dan membuat semakan melalui sistem ePLKN 3.0 secara berkala.

“JLKN turut menegaskan bahawa kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. Kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap sebagai ingkar arahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast