Bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Seputeh, Edmund Teoh Kheng akan didakwa berhubung kes rasuah membabitkan projek mesra rakyat ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim diikat jamin RM60,000 selepas didakwa atas dua pertuduhan membabitkan penipuan dan menerima suapan RM500,000 berkaitan pembekalan papan pintar interaktif.

Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap Edmund Teoh Kheng Yaik yang berusia 40 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM150,000 selain beberapa syarat tambahan.

Ia termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Menurut pihak pendakwaan, jumlah jaminan itu bersesuaian mengambil kira keseriusan pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, MN Lo memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan penjamin tertuduh hanya mampu menyediakan RM30,000.

Beliau berkata, anak guamnya kini bekerja dengan syarikat p-hailing dan memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan selain mempunyai seorang anak kecil.

Hujah peguam, anak guamnya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

“Anak guam saya tidak pernah cuba melarikan diri dan sentiasa hadir memberi kerjasama kepada pihak penyiasat,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Edmund diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap dan Fatin Farhana Ismail bersama Julaila Jamaluddin.

Terdahulu, Edmund mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menipu Teresa dengan memperdayakannya supaya mempercayai hanya dua sekolah di Parlimen Seputeh memohon bantuan Interactive Smart Board sedangkan terdapat 16 sekolah lain turut mengemukakan permohonan sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi mendorong Ahli Parlimen berkenaan membenarkan permohonan dibuat melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Off Jalan Kuchai Lama pada Jun 2024.

Dia turut berdepan satu lagi pertuduhan menerima wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai suapan bagi membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif dan peralatan berkaitan kepada 16 sekolah di kawasan Parlimen Seputeh melalui syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas pembantu didakwa perdaya Teresa Kok, terima suapan RM500,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast