Suraya Sulaiman.

JOHOR BAHRU – Ekonomi penjagaan atau care economy bukan lagi isu kecil dalam institusi keluarga terutama daripada golongan kurang berkemampuan.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini kerana sudah menjadi isu ekonomi dan sosial yang memberi kesan langsung terhadap produktiviti tenaga kerja, kesejahteraan mental keluarga serta masa depan generasi muda Johor.

Katanya, ramai ibu bapa khususnya di kawasan bandar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai kini berhadapan peningkatan kos penjagaan anak yang tinggi.

“Bayaran taska berkualiti yang mencecah antara RM800 hingga RM1,200 sebulan bagi seorang anak menjadi tekanan besar kepada keluarga muda, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga anak.

“Dalam masa yang sama, golongan ‘generasi Sandwic’ turut berdepan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin uzur sambil membesarkan anak-anak dan meneruskan kerjaya.

“Situasi ini menyebabkan ramai wanita terpaksa mengorbankan kerjaya, mengambil cuti panjang atau berhenti kerja kerana ketiadaan sistem sokongan penjagaan yang mampu milik dan dipercayai,” katanya dalam kenyataan.

Pejuang Johor percaya bahawa pembangunan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, mesti memberi perhatian kepada kesejahteraan institusi keluarga sebagai asas kekuatan masyarakat dan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menggesa agar kerajaan negeri dan pihak swasta memperluaskan subsidi serta sokongan kepada taska komuniti dan pusat penjagaan di tempat kerja bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa bekerja.

Selain itu katanya, kerjaya pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak perlu diangkat sebagai sektor profesional penting melalui latihan bertauliah, perlindungan kebajikan dan gaji yang lebih bermaruah supaya mutu penjagaan dapat dipertingkatkan.

Pejuang Johor juga menyeru agar lebih banyak syarikat dan majikan melaksanakan polisi kerja fleksibel serta mesra keluarga selaras dengan perubahan dunia pekerjaan masa kini.

Produktiviti pekerja tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kehadiran di pejabat, tetapi melalui hasil kerja yang berkualiti, katanya.

“Ibu bapa memerlukan ruang dan fleksibiliti untuk menguruskan komitmen keluarga tanpa rasa takut kehilangan pekerjaan atau peluang kerjaya mereka,” katanya.

Pejuang Johor yakin bahawa pelaburan terbaik sesebuah kerajaan bukan sekadar pada pembangunan infrastruktur, tetapi pada pembangunan manusia dan institusi keluarga.

Menurutnya, keluarga yang stabil dan sejahtera akan melahirkan masyarakat yang lebih produktif, sihat serta berdaya tahan.

Tambahnya, agenda ekonomi penjagaan perlu dijadikan antara dasar utama pembangunan Johor demi memastikan tiada rakyat yang terpaksa memilih antara tanggungjawab keluarga dan kelangsungan hidup.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast