SHAH ALAM – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diingatkan tidak perlu sibuk untuk menjaga kawasan Bukit Bintang sedangkan pengundinya sendiri bergelut dengan masalah banjir yang melanda kawasannya, baru-baru ini.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, wakil rakyat DAP itu perlu lebih cakna dengan kebajikan pengundi sendiri sebelum menuduh Pas gagal menarik pelancong ke negeri-negeri yang ditadbirnya.
“Sepatutnya dia (Teresa) bagi tumpuan banjir di Seputeh. Bukan sibuk tentang di Bukit Bintang. Bukit Bintang bukan kawasan dia. Seputeh banjir, bagaimana rakyat?
“Sepatutnya dia wakil rakyat, dia dalam kerajaan hari ini, beri fokus kepada menyelesaikan isu banjir di Seputeh, saya dimaklumkan ada isu longkang tersumbat.
“Tak perlu nak seolah-olah membentuk persepsi Pas ini tidak mahu kepada bentuk hiburan dan pelancongan, bukan begitu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Teresa menerusi satu kenyataan membidas Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin yang cuba mempertahankan prestasi pelancongan Langkawi dengan menggunakan statistik 3.2 juta pelancong bagi 2025.
Teresa juga mendakwa, Langkawi kini sedang tewas dalam persaingan pelancongan ASEAN akibat kegagalan tadbir urus Kerajaan Negeri Kedah sedangkan Phuket, Thailand mencatat kira-kira 12.74 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga November 2025,
Dalam pada itu, Sukri menegaskan, festival muzikal bertemakan pesta air itu tidak bersesuaian dengan identiti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan bangsa.
“Kita mahu yang bawa identiti negara, identiti bangsa dan rakyat dalam negara ini.
“Alangkah indah orang datang di Bukit Bintang, lihat. Kita ada Iban, Kadazan, Melayu, Cina dan India, yang mempunyai kebudayaan ini boleh ditunjukkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















