Tiga kontraktor dikompaun gagal patuh SOP korekan jalan awam.

KUALA LUMPUR – Tiga kontraktor dikompaun menerusi Operasi Korekan Jalan Awam Siri 7 yang dilaksanakan di sekitar Wilayah Persekutuan bermula 10 malam 9 Mei hingga 3.30 pagi esoknya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kesalahan tidak meletakkan lampu blinker jalan, tiada pengawal lalu lintas jalan, menyebabkan kerosakan siar kaki jalan dan menutup laluan jalan tanpa kebenaran.

Turut dikenal pasti kesalahan melibatkan lori tiada permit mengangkut bahan binaan dan menyebabkan laluan jalan awam kotor serta lain-lain kesalahan am.

“Tindakan penguatkuasaan diambil menerusi kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (2 notis kompaun) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (5 notis kompaun),” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, sebanyak lima kawasan diperiksa dalam operasi tersebut memeriksa iaitu Taman Maluri Cheras, Jalan Kuching, Jalan Kepong, Jalan Bangsar dan Jalan Imbi, Bukit Bintang.

Jelas DBKL, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan bagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor semasa pembaikkan atau penyelenggaraan berkaitan pemasangam paip, penurapan jalan, pembaikkan saluran longkang, kerja-kerja utiliti seperti pemasangan atau penyelenggaraan bekalan air, elektrik atau talian telekomunikasi yang gagal mematuhi syarat dan kelulusan kerja di tapak operasi.

Sementara itu katanya, CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir dan mengemukakan maklumat berkaitan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran serta kelulusan kepada pihak kontraktor.

“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan tertera,” tambah DBKL.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast