Fauziah Latiff layak digelar 'Ratu Lagu Cinta'.

KUALA LUMPUR – Sebaik tamat persembahan 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert malam Sabtu lalu, seperti dijangka muncul pelbagai komen di media sosial yang mengkritik nyanyian penyanyi berusia 55 tahun itu.

Agak kelakar, segelintir pengkritik itu sekadar menonton klip pendek di TikTok atau Instagram tanpa hadir sendiri ke konsert itu.

Antara komen yang berbunyi; “Fauziah Latiff dah tak boleh menyanyi lagi. Konsert seperti semalam hanya akan menyiksakan diri dan vokal beliau, ketika yang menontonnya sudah rasa tegang disebabkan struggle beliau memberi persembahan”.

Padahal Fauziah atau mesra dengan panggilan Jee awal-awal lagi sudah mengakui konsert tersebut mungkin tidak mencapai ekspektasi segelintir pihak.

Might not be perfect, tapi saya harap ia akan menjadi memorable untuk kita semua,” katanya pada malam penuh emosi itu.

Di era 1990-an, nama Fauziah ‘meletup’ di persada muzik tanah air gara-gara lagu berbaur romantis nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat sekali gus layak digelar ‘Ratu Lagu Cinta’.

Rangkaian lagu hit Fauziah seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, Tiada Noktah Cinta,  Kau Merubah Segalanya, Teratai Layu di Tasik Madu, Apa Sebenar, Yang Lebih Kau Cinta dan Dia sering bermain di bibir anak muda ketika itu.

Namun sejak beberapa tahun ini, Fauziah sedar usikan peminat akan kemampuan vokalnya, malah turut dikecam seperti ‘bersajak’ ketika menyanyi.

Namun dia tidak pernah berkecil hati atau melatah.

Kekal dengan sifat lemah lembutnya, Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff pada sidang media konsert itu pernah berkata, dia perlu realistik yang kemampuannya beraksi atas pentas tidak lagi selincah pada era 1990-an sekali gus berharap mampu memberi keadilan kepada semua aspek.

Bagi peminat tegarnya Fauziah yang hadir, mereka jelas berpuas hati. Fauziah tetap seorang penghibur legenda buat mereka. Rangkaian 22 lagu penuh tanpa medley bukti wanita ini masih mampu menyanyi tanpa hilang emosi yang kuat dalam jiwanya.

Biarpun banyak kali Fauziah meminta maaf, tiada ‘dosa’ pun buat mereka. Malah mereka yang patut berterima kasih kepada Fauziah kerana berjaya membuai perasaan sejak zaman remaja sehingga kini.

Yang penting, dewan penuh dengan kapasiti lebih 3,000 peminat. Fauziah mungkin tidak sempurna tetapi dia tetap penyanyi ikonik lagu-lagu cinta di halwa telinga peminatnya dengan lontaran vokal gemersik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast