Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim.
Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim

KUALA LUMPUR –  Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyerang Perdana Menteri dalam ceramahnya baru-baru ini, disifatkan berat, cacat dan tidak berasas.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, tuduhan yang dilemparkan Nik Zawawi tidak disokong oleh fakta mahu pun sandaran diplomatik yang kukuh.

“Lebih memalukan, hampir keseluruhan ‘hujah’ beliau hanyalah bersandarkan kepada cerita ‘kawan-kawan’ di Thailand, negara Arab dan kenalan luar negara yang kononnya berkata demikian dan begini.

“Ini bukan standard seorang Ahli Parlimen. Ini lebih menyerupai sembang kedai kopi yang dibungkus menjadi ceramah politik murahan,” katanya, hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembohong yang merosakkan ekonomi negara serta hubungan diplomatik Malaysia dengan beberapa negara lain.

Menurut Nik Zawawi, pelbagai kenyataan dan pendirian Perdana Menteri yang berubah-ubah menyebabkan rakyat terpaksa berhadapan dengan situasi politik dan pentadbiran yang disifatkannya sebagai ‘ganjil dan pelik’.

Dalam pada itu Wan Anwar berkata, hubungan diplomatik sesebuah negara sepatutnya dinilai melalui kekuatan dasar luar, hubungan perdagangan strategik, keyakinan pelabur serta pengiktirafan institusi antarabangsa, bukannya melalui cerita peribadi.

“Persoalannya mudah, sejak bila hubungan diplomatik sesebuah negara dinilai berdasarkan cerita sembang peribadi dan bukannya melalui kekuatan dasar luar, hubungan perdagangan strategik, keyakinan pelabur dan pengiktirafan institusi antarabangsa?” katanya.

Beliau menegaskan, di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia kini memperlihatkan pemulihan keyakinan ekonomi dan diplomatik yang semakin jelas di peringkat antarabangsa.

“Ini realiti yang diukur melalui data, pelaburan, perdagangan dan penilaian institusi antarabangsa dan bukannya melalui cerita ‘kawan saya kata’,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Anwar turut mempersoalkan rekod Nik Zawawi yang telah beberapa penggal menjadi Ahli Parlimen Pasir Puteh dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast