KUALA LUMPUR – Malaysia China Institute (MCI) bakal menjadi pemacu utama transformasi landskap pendidikan vokasional negara menerusi tumpuan khusus kepada sektor High TVET yang melibatkan teknologi masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCI tersebut akan direka dengan model yang berbeza berbanding institusi kerjasama antarabangsa sedia ada seperti German-Malaysian Institute (GMI) atau Malaysia Japanese Industrial Institute (MJII).
Menurut beliau, keunikan MCI terletak pada pengkhususan mutlaknya terhadap teknologi terbaharu termasuk ekosistem kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri dan pengeluaran komponen berteknologi tinggi.
“Kita telah menubuhkan MCI sebagai terjemahan kepada komitmen antara Malaysia dan China. Jika institusi lain mempunyai skop yang luas, MCI lebih spesifik kepada High TVET dan teknologi terbaharu yang diperlukan industri masa kini.
“Sebuah kampus yang lebih besar akan dibina bagi menggantikan fasiliti sedia ada. Kita jangkakan peruntukan bagi pembangunan dan kelengkapan peralatan latihan di kampus baharu ini akan mencecah lebih RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Malaysia–China di Asia School of Business.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, penglibatan China dalam pembangunan MCI bukan sekadar perkongsian ilmu malah merangkumi penyediaan peralatan latihan canggih termasuk unit kenderaan EV model baharu untuk kegunaan pelajar.
“China sangat komited, mereka telah menawarkan 5,125 tempat untuk pelajar kita mendapat pendedahan di sana dan kuota itu telah penuh sepenuhnya tahun lalu.
“Kini, melalui MCI kita akan membawa teknologi tersebut ke sini secara tetap.
“Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada pelan besar negara untuk menyediakan hampir setengah juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030 seterusnya menggandakan kebolehpasaran graduan tempatan ke peringkat tertinggi menjelang 2050,” katanya.
Penubuhan kampus mega MCI itu nanti akan melibatkan kerjasama erat merentas 12 kementerian di bawah Majlis TVET Negara bersama Kementerian Pendidikan Vokasional dan Kejuruteraan China.
Ketika ditanya mengenai penyertaan tinggi untuk TVET khususnya EV sama ada Malaysia selepas ini akan menumpukan kepada pemasangan tempatan (CKD), Ahmad Zahid berkata, ia merangkumi pengeluaran komponen serta peralatan yang diperlukan oleh industri di China.
“China telah menawarkan lebih 5,000 tempat kepada pelajar tempatan sejak 2023 dan kesemua kuota tersebut telah dipenuhi sepenuhnya pada tahun lalu.
“Kerjasama ini bukan sekadar tertumpu kepada proses pemasangan tempatan (CKD) sahaja dan bukan hanya kepada kereta EV tetapi produk-produk lain yang memerlukan tenaga kerja mahir mengikut spesifikasi mereka.
“Pihak China juga memberikan bantuan dari segi peralatan latihan, termasuk penghantaran unit kenderaan EV baharu bagi tujuan pembelajaran pelajar kita,” ujarnya.
Katanya lagi, fokus kerajaan adalah melahirkan pakar yang mampu menghasilkan alat ganti dan peralatan bagi pasaran global.
“China memerlukan tenaga kerja mahir (skill workers) yang berketerampilan tinggi dan MCI adalah wadah untuk kita menyediakannya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















