KULAI – Penduduk Kampung Pertanian dan Kampung Separa di sini mahu masalah banjir lumpur yang dilihat sudah berlarutan dan berlaku setiap kali hujan lebat diselesaikan segera.
Seorang penduduk, Mohd Amirul Aiman Hasni, 28, berkata, bencana itu berulang pukul 4 petang kelmarin selepas perkampungan berkenaan dilanda hujan beberapa jam.
Menurutnya, dalam kejadian itu, air naik secara mendadak hingga ke paras lutut hingga penduduk tidak dapat mengalihkan perabot mahupun barangan elektrik.
Katanya, keluarganya juga tidak terkecuali terpaksa menanggung kerugian apabila beberapa perabot mengalami kerosakan.
“Ahli keluarga saya terutama ibu sudah berusia 60-an berdepan kesulitan apabila rumah kami dilanda banjir lumpur.
“Setakat ini sudah empat kali dilanda banjir, kami bimbang kejadian berulang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mohd Amirul Aiman berkata, penduduk tidak menolak kemungkinan bencana itu berpunca daripada sistem perparitan yang gagal dinaik taraf selepas kewujudan projek perumahan baharu.
“Kami tidak menghalang pembangunan namun ia tidak sepatutnya menyusahkan penduduk serta perancangan penting bagi memastikan pembangunan baharu tidak menjejaskan sistem perparitan.
“Kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya memantau permasalahan berkenaan bagi mengelakkan ia berulang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya meninjau situasi banjir yang melanda di beberapa kawasan termasuk di Taman Bandar Cendana dan Kampung Separa kelmarin.
“Saya memahami keresahan serta kesukaran yang dihadapi penduduk akibat hujan lebat luar biasa yang berterusan dalam tempoh yang agak panjang sejak beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.
Katanya, hasil tinjauan bersama-sama pihak teknikal mendapati antara faktor utama kejadian banjir ialah kapasiti kolam tadahan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah air yang banyak ketika hujan serentak dengan aliran air dari kawasan sekitar.
Perubahan pembangunan dan peningkatan taburan air juga katanya, memerlukan sistem tebatan yang lebih bersedia menghadapi cuaca luar jangka.
“Susulan itu, saya mengarahkan pihak pemaju supaya melaksanakan tindakan segera bagi pembesaran kolam tadahan sedia ada agar kapasiti aliran dan takungan air dapat dipertingkatkan secepat mungkin.
“Perkara ini tidak boleh ditangguhkan kerana ia membabitkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut meminta pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) meneliti kaedah pemasangan sistem flap gate (pintu) air seperti yang dilaksanakan MBJB dalam usaha mengawal aliran air serta mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat dan fenomena air pasang berlaku serentak.
Pendekatan itu perlu dilihat secara serius sebagai antara solusi jangka panjang yang lebih efektif, katanya.
Beliau berkata, penyelesaian isu banjir memerlukan tindakan secara berperingkat-peringkat dan menyeluruh membabitkan pelbagai aspek termasuk sistem saliran, kapasiti kolam tadahan, kawalan pembangunan, penyelenggaraan berkala serta koordinasi antara agensi teknikal dan pihak pemaju.
“Kerajaan negeri tidak memandang ringan perkara ini dan komited memastikan penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang dapat dilaksanakan secara berterusan demi keselamatan rakyat.
“Saya juga meminta pihak MPKu bersama pemaju supaya membantu penduduk yang terkesan melalui gerak kerja pembersihan rumah dan kawasan sekitar sebaik sahaja air mulai surut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyampaikan bantuan makanan dan air mineral kepada penduduk yang terjejas.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban penduduk dan memberi kekuatan kepada mereka untuk terus tabah menghadapi ujian ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















