KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan pemandu kereta Mazda RX-8 yang ditinggalkan Kilometer 12.5, Lebuh Raya Elite arah Utara, awal pagi tadi selepas melanggar penunggang motosikal hingga maut, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua kenderaan itu pukul 6.15 pagi.
“Dalam kejadian itu, sebuah motosikal Modenas Ninja sedang bergerak lurus telah terlanggar bahagian belakang kereta Mazda RX-8 yang diletak dan ditinggalkan di lorong kecemasan dipercayai mengalami kerosakan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, polis sedang mengesan pemandu kereta terbabit dengan no pendaftaran WND 6463 yang ditinggalkan di lokas terbabit bagi membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat tentang pemilik atau pemandu kereta terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















