LONDON – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berdepan tekanan dalam Parti Buruh selepas 70 anggota Parlimen sama ada menggesa beliau meletak jawatan atau menetapkan jadual pengundurannya, lapor Anadolu Ajansi.
Keresahan yang semakin meningkat itu berlaku selepas keputusan pilihan raya yang sukar bagi Parti Buruh di seluruh United Kingdom, dengan beberapa tokoh kanan mempersoalkan hala tuju parti di bawah kepimpinan Starmer.
Starmer mengakui kerajaannya melakukan kesilapan, namun menegaskan ia telah “membuat pilihan politik besar yang tepat.”
Beliau turut berikrar untuk membuktikan golongan “yang meragui” kepimpinannya adalah salah ketika spekulasi mengenai masa depannya semakin hangat.
Menurut The Times, Setiausaha Dalam Negeri Shabana Mahmood adalah antara sekurang-kurangnya empat menteri yang secara tertutup menggesa Perdana Menteri supaya mempertimbangkan untuk menetapkan garis masa bagi berundur dari Downing Street.
Tekanan itu menyusul selepas beberapa kekalahan pilihan raya yang menjejaskan Parti Buruh.
Di Wales, parti itu mengalami kekalahan bersejarah dalam pilihan raya Senedd, manakala di Scotland, Parti Kebangsaan Scotland (SNP) mengekalkan kuasa bagi penggal kelima berturut-turut di Parlimen Scotland.
Pilihan raya yang diadakan di seluruh Scotland, Wales dan 136 majlis tempatan England itu merupakan ujian pilihan raya terbesar sejak kemenangan besar Parti Buruh pada pilihan raya umum 2024.
Parti Reform UK berhaluan kanan turut menyaksikan peningkatan sokongan baru-baru ini, memenangi lebih 1,450 kerusi majlis dan memperkukuh pencapaian yang diraih dalam pilihan raya tempatan tahun lalu. – BERNAMA-ANADOLU
















