Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Rosdi Daud menunjukkan barang rampasan dadah pada sidang media berhubung kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Cheras menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan warga asing menerusi tiga serbuan di sekitar Cheras dan Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dicekup dalam dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair MDMA dan serbuk MDMA bernilai keseluruhan RM13,800 di Taman Tenaga, Cheras, pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 11.35 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan seorang lelaki tempatan di sebuah bilik sewa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud, berkata hasil pemeriksaan menemukan serbuk MDMA seberat 1,257.50 gram, cecair MDMA sebanyak 8,850 mililiter, pil ekstasi seberat 1.55 gram dan Erimin 5 seberat 2.79 gram yang disimpan di atas katil bilik berkenaan.

Sebahagian dadah yang dirampas dipamerkan pada sidang media berhubung kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Cheras menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan warga asing menerusi tiga serbuan di sekitar Cheras dan Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 Mei 2026.

“Polis turut merampas wang tunai RM100 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk dadah bernilai RM13,800.

“Suspek kini direman selama enam hari bermula 9 Mei hingga 14 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan berasingan 9 Mei lalu, pihaknya turut menyerbu kondominium di Jalan Sungai Besi sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran dadah.

Sebahagian dadah yang dirampas dipamerkan pada sidang media berhubung kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Cheras menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan warga asing menerusi tiga serbuan di sekitar Cheras dan Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 Mei 2026.

Menurut Rosdi, operasi kira-kira jam 10.35 malam itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis dadah dipercayai untuk edaran termasuk cecair MDMA sebanyak 2,500 mililiter, ketamin seberat 10 gram, pil ekstasi seberat 33.94 gram serta kartrij vape mengandungi cecair MDMA.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM6,000.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Rosdi Daud menunjukkan barang rampasan dadah pada sidang media berhubung kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Cheras menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan warga asing menerusi tiga serbuan di sekitar Cheras dan Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 Mei 2026.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin selain mempunyai satu rekod dikehendaki berkaitan kesalahan dadah,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek direman selama lima hari bermula 10 Mei hingga 14 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast