Pelaksanaan prosedur keselamatan yang lebih efektif oleh pihak PIBG Sekolah Kebangsaan Batu Tiga di Kluang bermula hari ini.

KLUANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tiga di sini mengambil langkah drastik melakukan beberapa langkah baharu bagi memastikan keselamatan murid ketika pulang dari sekolah bagi mengelak kemalangan.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG), SK Batu Tiga, Zunurain Zailani berkata, hasil perbincangan dengan pihak sekolah, pelaksanaan bermula hari ini meliputi beberapa pendekatan baharu yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa sama ada ketika menghantar atau mengambil anak.

Katanya, langkah itu bagi menjamin keselamatan murid serta mengelakkan kemalangan berlaku seperti yang berlaku di SK Sri Maimon di Batu Pahat dan sebuah sekolah di Kelantan baru-baru ini.

Jelasnya, antara langkah awal yang dilakukan bermula hari ini adalah tiada lagi kenderaan boleh diparkir sepanjang pintu pagar B hingga pintu A ketika menunggu anak-anak keluar dari kawasan sekolah.

“Untuk tujuan itu, kawasan parkir motosikal akan dikhaskan di kawasan rumah berhadapan sekolah dengan memberikan tanggungjawab kepada anggota Pasukan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk mengawal lalu lintas.

“Bagi pemandu van atau bas sekolah, mereka akan dibenarkan masuk ke dalam pekarangan sekolah 10 minit sebelum waktu pelajar balik dan akan keluar secara serentak untuk membawa pulang pelajar dan tidak dibenarkan keluar satu persatu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Zunurain lagi, van atau bas sekolah yang datang lambat daripada masa ditetapkan tidak akan dibenarkan memasuki pekarangan sekolah dan perlu menunggu seperti mana ibu bapa yang datang mengambil anak-anak mereka.

Ujarnya, penambahan kon akan diletakkan di sepanjang laluan luar sekolah sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Saya amat berharap ibu bapa dapat mematuhi pendekatan baharu ini kerana ia dilakukan bagi memastikan keselamatan murid yang juga anak-anak kita semua.

“Untuk tujuan itu, ibu bapa perlu mengambil sendiri anak-anak mereka kerana pegawai sekolah tidak akan membenarkan murid keluar selagi tiada ibu bapa yang datang,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast