Had kelayakan asas bulanan di bawah Budi MADANI RON 95 telah meningkat daripada 200 kepada 300 liter berkuat kuasa 1 September tahun ini.

KUALA LUMPUR – MCA menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk mengurangkan lagi kuota subsidi petrol RON95 Madani (BUDI95) kepada 150 liter sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PMKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, langkah itu akan memberi kesan besar khususnya kepada keluarga berpendapatan dua sumber di kawasan bandar, golongan pekerja yang bergantung kepada perjalanan harian serta pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Tambah beliau, cadangan kuota 150 liter sebulan dilihat tidak realistik terutama bagi keluarga di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang yang perlu berdepan kesesakan lalu lintas serta perjalanan jauh setiap hari.

“Dalam kebanyakan keluarga bandar hari ini, suami dan isteri kedua-duanya bekerja dan memiliki sekurang-kurangnya dua kenderaan adalah perkara biasa.

“Kuota 150 liter sebulan jelas tidak mencukupi untuk kegunaan harian termasuk perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan urusan keluarga,” katanya kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berhubung cadangan pengurangan kuota subsidi petrol RON95.

Lawrence berkata, walaupun kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, sistem sedia ada masih memerlukan penambahbaikan terutama dari segi liputan rangkaian dan sambungan “last mile”.

Katanya, masalah integrasi sistem, kekerapan perkhidmatan yang tidak konsisten serta kemudahan pertukaran pengangkutan yang tidak mesra pengguna menyukarkan rakyat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.

“Kerajaan perlu terlebih dahulu meningkatkan kecekapan pengangkutan awam termasuk menambah perkhidmatan bas pengantara, memperbaiki kemudahan park-and-ride serta memperluas liputan rangkaian pengangkutan sebelum melaksanakan pengurangan subsidi bahan api,” katanya.

Beliau turut menegaskan pengurangan kuota subsidi bukan sahaja memberi kesan kepada isi rumah, malah akan menjejaskan ekosistem PMKS termasuk wakil jualan, pekerja penghantaran, ejen insurans dan pekerja sektor jualan yang banyak bergantung kepada penggunaan kenderaan.

“Bahan api bukan barang mewah, sebaliknya kos operasi asas untuk mereka mencari rezeki,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan ketepatan data yang digunakan kerajaan berhubung penggunaan petrol rakyat.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan secara telus bagaimana angka penggunaan tersebut diperoleh termasuk dakwaan bahawa 80 peratus rakyat menggunakan kurang 200 liter petrol sebulan, 60 peratus kurang 150 liter dan 50 peratus kurang 100 liter.

Katanya, kesan pengurangan subsidi tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah penggunaan petrol individu kerana peningkatan kos pengangkutan dan logistik akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Sekarang bukan masa untuk menambah beban rakyat dan perniagaan yang sedang bergelut dengan kos sara hidup serta kos operasi yang semakin meningkat,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast