Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menyediakan makanan kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku pada 16 Mei ini sebagai satu penghinaan terbuka terhadap rakyat yang hadir demi mempertahankan maruah institusi Raja dan negeri.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, himpunan yang bakal berlangsung di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor itu bukan bertujuan mendapatkan imbuhan atau layanan makanan, sebaliknya membawa suara rakyat berkaitan isu kedaulatan raja.

Menurut beliau, tindakan kerajaan negeri menyediakan nasi bungkus dilihat sebagai cubaan merendahkan semangat dan prinsip peserta himpunan, seolah-olah kemarahan rakyat boleh dilembutkan dengan pemberian makanan percuma.

“Ia memberi gambaran seolah-olah peserta himpunan datang kerana perut, bukan kerana prinsip. Seolah-olah suara rakyat boleh dibeli dengan makanan.

“Ini mentaliti paling rendah dalam politik apabila kerajaan melihat rakyat sebagai kelompok yang boleh dihina dan direndahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri memandang rendah terhadap rakyat sehingga menganggap maruah raja dan suara rakyat boleh “ditukar” dengan sebungkus makanan.

Katanya, jika Kerajaan Negeri Selangor benar-benar memahami maksud Daulat Tuanku, Menteri Besar sepatutnya tampil bersama rakyat dan mendengar sendiri suara mereka di hadapan bangunan SUK, bukannya sekadar menghantar makanan kepada peserta himpunan.

Tambah beliau, Himpunan Daulat Tuanku bukan “pesta makan”, sebaliknya, himpunan mempertahankan maruah bangsa dan institusi Raja.

“Budi kepada rakyat ialah menjaga hati rakyat dengan mempertahankan kedaulatan Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Ibrahim berkata, tindakan kerajaan negeri itu hanya akan menguatkan persepsi bahawa pentadbiran Selangor gagal memahami sentimen rakyat yang sedang bangkit berhubung isu berkenaan.

Beliau turut memberi amaran bahawa gelombang kebangkitan rakyat boleh menjadi lebih besar sekiranya suara mereka terus dipandang ringan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast