KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing ditahan dipercayai terlibat kes penemuan bayi lelaki berusia dua bulan yang ditinggalkan di laluan pejalan kaki di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, Semporna, Sabah.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superiteden Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu dalam keadaan berbungkus daripada orang awam sekitar jam 8.16 pagi semalam.
“Bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu ditemukan sekitar jam 7 pagi dan telah dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan serta rawatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bayi terbabit berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Susulan itu katanya, polis menahan suspek berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat dalam membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam masa sama, ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor J. Munnesh di talian 012-9922566 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















