Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, yang bekerja sebagai penarik kereta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara tujuh bulan terhadap seorang lelaki atas tuduhan menyimbah cat merah di dua rumah sekitar bandar raya ini.

Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, yang bekerja sebagai penarik kereta dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sementara Majistret Nabilah Nizam menjatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 16 April lalu, juga selepas lelaki itu mengaku bersalah bagi pertuduhan dihadapinya.

Di hadapan Azureen Sahira, tertuduh didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada lelaki berusia 52 tahun, telah menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu dengan menyimbah cat merah pada sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin di sini pukul 4.10 petang, 7 April lalu.

Sementara di hadapan Nabilah, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat kepada seorang lelaki berusia 37 tahun dengan menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu dengan menyimbah cat merah pada rumah di Twin Danga Residensi, Jalan Tengah, Kampung Sungai Danga di sini, pukul 7 pagi, 24 Disember 2025.

Bagi dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K Vijayan dan Zulyatie Awang yang mewakili tertuduh masing-masing memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak dengan berpendapatan RM1,000 sebulan sebagai penarik kereta.

Peguam berkata, pengakuan salah dibuat tertuduh di peringkat awal menjimatkan masa dan kos-kos semua pihak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman masing-masing memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

Mengikut fakta kes yang pertama, ketika mangsa pergi ke rumahnya di Taman Mount Austin, mendapati terdapat cat merah pada dinding dan lantai rumah sebelum pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki iaitu tertuduh tiba di hadapan rumah berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.

Tertuduh dikatakan datang sambil memegang botol berisi cat merah lalu menyimbah cat berkenaan pada rumah terbabit sebelum beredar dengan kenderaan berkenaan.

Semakan ke atas kereta dipandu tertuduh mendapati ia adalah kereta sewa dan pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menjumpai botol-botol berisi cat merah dan semakan pada telefon bimbit pula terdapat rakaman video menunjukkan tertuduh menyimbah cat berkenaan pada rumah mangsa.

Bagi fakta kes kedua, mangsa turut mendapati ada cat merah pada dinding dan lantai sebuah unit kediamannya di kondominium berkenaan dan semakan CCTV memaparkan tertuduh datang ke kediaman itu dengan menaiki sebuah kereta mewah sebelum menyimbah cat pada rumah terbabit.

Terdapat rakaman video dalam telefon bimbit tertuduh yang memaparkan perbuatannya menyimbah cat berkenaan.

Pada 29 April lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu sidang akhbar dilaporkan berkata, polis menahan enam suspek termasuk dua wanita yang juga ‘budak suruhan’ sindiket along dan aktif melakukan ugutan jenayah termasuk simbah cat serta serangan menggunakan ‘molotov cocktail’ di beberapa negeri.

Beliau dilaporkan berkata, suspek yang berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, awal bulan lalu.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast