KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup 15 tan beras dari negara jiran dianggarkan bernilai RM69,000 berjaya dipatahkan apabila sebuah lori ditahan dalam Op Taring Bravo 4 di Kilometer 69 Jalan Gerik- Kuala Kangsar, Perak, awal pagi tadi.
Serbuan sekitar jam 6 pagi itu dilaksanakan oleh Bahagian WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dekat lampu isyarat Simpang Tiga Felda Papulut.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam operasi itu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan bersama sebuah lori Nissan UD dipercayai membawa muatan beras seludup.
“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan beras berkenaan.
“Kita turut merampas lori Nissan UD seberat 25,000 kilogram (kg) dan sebatang anak kunci lori, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM184,000 dengan nilai rampasan beras sahaja RM69,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi itu berjaya memutuskan rangkaian penyeludupan beras tidak bercukai selain mengekang kemasukan bekalan menggunakan jalan tidak sah.
Berikutan itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 552) dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Perak untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















