Antara barangan dan peralatan perniagaan yang disita DBKL dalam operasi khas semalam. Foto: Facebook DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 10 rumah kediaman yang dijadikan stor simpanan sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit tanpa kebenaran di sekitar Jalan Batu Belah dan Taman Batu View, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.

Tindakan penguatkuasaan khas itu dijalankan melibatkan pemeriksaan serta operasi pemindahan barangan dan peralatan perniagaan dari rumah-rumah terbabit yang dipercayai digunakan oleh warga asing bagi tujuan aktiviti jualan borong.

DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, premis kediaman berkenaan dikesan telah menukar kegunaan rumah kepada stor simpanan tanpa memperoleh Perintah Pembangunan yang sah.

“Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Seksyen 26, Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1982,” katanya.

Antara barangan dan peralatan yang disita termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, barangan am, troli, bakul, penimbang serta pelbagai peralatan perniagaan lain.

Kesemua barang sitaan dihantar ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi lanjut.

DBKL memaklumkan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis mematuhi syarat penggunaan tanah dan bangunan yang telah diluluskan.

Orang awam turut disaran menyalurkan aduan atau maklumat kepada pihak DBKL sekiranya mengesan sebarang aktiviti penukaran kegunaan premis tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast