Siti Izzati Nurul Huda Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak usia 18 tahun, Siti Izzati Nurul Huda Ibrahim, 22, tetap cekal menamatkan pengajian Diploma Teknologi Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Baling, Kedah itu berkata, dia mula menyedari penglihatan mata kanannya kabur sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftar masuk ke universiti dan selepas pemeriksaan lanjut, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Bila doktor periksa, mereka mendapati saraf mata sebelah kanan saya sudah diserang SLE. Waktu itu saya takut sebab doktor cakap penyakit ini seumur hidup dan waktu itu baru nak mendaftar di universiti.

“Saya pernah fikir untuk tidak sambung belajar namun keluarga banyak memberi semangat untuk saya teruskan pengajian terutama ibu,” katanya kepada pemberita pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini semalam.

Menurutnya, keadaan kesihatannya semakin mencabar apabila SLE mula menyerang organ dalaman sehingga menyebabkan dia hampir berputus asa dan hilang semangat untuk meneruskan pengajian.

Katanya, keadaan makin mencabar, apabila dia perlu memenuhi temu janji pemeriksaan kesihatan dengan agak kerap yang memerlukannya berulang-alik dari Perak ke Kedah.

Katanya, ada ketika dia terlalu lemah sehingga sukar berjalan dan terpaksa berhenti seketika ketika menaiki tangga ke kelas.

“Dalam setahun memang ada dua atau tiga kali saya masuk wad dan paling lama sampai dua minggu. Kadang-kadang sampai tahap kaki saya tiba-tiba bengkak memang saya tak boleh jalan,” katanya.

Siti Izzati Nurul Huda berkata, sokongan keluarga terutama ibu bapanya menjadi kekuatan terbesar sepanjang pengajian kerana sanggup menghantar dan mengambilnya bagi menjalani pemeriksaan di Kedah.

Malah, dia juga amat bersyukur kerana pensyarah dan rakan-rakan sentiasa membantu dan memahami keadaannya.

“Kawan-kawan banyak bantu terutama bila saya tertinggal kelas atau tidak sihat. Saya juga bersyukur mak ayah sentiasa ada ketika saya perlukan bantuan,” katanya.

Kini, graduan itu sudah bekerja sebagai pereka dalaman di Sungai Petani, Kedah sejak awal tahun ini.

Katanya, dia berharap kisah hidupnya dapat memberi semangat kepada orang lain supaya tidak mudah berputus asa walaupun diuji dengan masalah kesihatan.

“Kalau orang yang banyak kekurangan pun boleh berjaya, orang lain pun mesti boleh. Pendidikan itu penting sebab boleh ubah hidup kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast