Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Isu melibatkan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang dilaporkan hilang keyakinan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah teraju Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dipandang ringan.

Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin berkata, isu itu menuntut kepimpinan PKR untuk bermuhasabah.

Menurut beliau, mahasiswa bukan sekadar tukang tampal poster atau penjaga media sosial ketika pilihan raya, sebaliknya merupakan pelapis kepimpinan masa depan parti.

Ujarnya, apabila ada dakwaan yang menyebut tujuh daripada 15 pimpinan utama mahasiswa meletakkan jawatan, ia bukan lagi isu individu, tetapi tanda ada masalah yang gagal diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pimpinan PKR supaya tidak terlalu cepat bermain politik penafian seolah-olah semuanya baik-baik sahaja.

“Sikap “denial syndrome” inilah yang pernah merosakkan banyak parti politik sebelum ini seperti UMNO.

“Saya juga kecewa bila ada yang angkuh menggunakan ayat “ada tidak menambah, tiada tidak mengurang”.

“Kalau begitu cara kita melihat sayap mahasiswa, maknanya selama ini mereka dianggap tidak penting kerana tidak menambah?

“Sedangkan ketika parti susah, anak muda inilah yang paling awal turun mempertahankan perjuangan.

“Jangan lupa, ketika kem Azmin Ali keluar dahulu pun ada yang bercakap besar kononnya “tidak memberi kesan”.

“Akhirnya siapa yang terpaksa telan realiti? Kita juga yang akhirnya terpaksa duduk bersama UMNO/BN demi memastikan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Razeef, pemimpin sepatutnya hadir menyelesaikan masalah, bukan sekadar membuat penafian.

Lebih teruk, ujarnya, apabila ada “pencacai upahan” memilih menyerang mahasiswa daripada mendengar keresahan mereka.

“Semua yang menegur terus dilabel musuh dan pengkhianat.

“Kalau suara anak muda pun kita gagal urus dengan baik, jangan terkejut jika suatu hari nanti parti ketandusan pelapis dan hilang sokongan generasi baru.

“Parti reformasi tidak boleh hidup dengan budaya angkuh terhadap teguran,” katanya.

Terdahulu, portal tempatan melaporkan sekumpulan ahli MKM yang memenangi pemilihan sayap PKR baru-baru ini didakwa mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.

Kumpulan mahasiswa itu dalam satu kenyataan mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas kepimpinan baru MKM melakukan penilaian kritikal terhadap hala tuju parti yang dikatakan semakin menjauh daripada semangat reformasi asal.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih menafikan perkara itu dan mendakwa, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.

Sebaliknya, menurut beliau, ia sekadar tindakan beberapa individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast