Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas menerima penjelasan serta permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kontroversi ceramahnya yang didakwa menyentuh peribadi sahabat Nabi Muhammad SAW di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan tersebut diharap mampu menjernihkan keadaan serta menamatkan polemik yang timbul sebelum ini.

“Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dizahirkan Tuan Ibrahim beberapa jam selepas Nik Muhammad Zawawi membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook dan platform X hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mengakui beliau kurang cermat ketika mengolah maklumat serta menyampaikan kenyataan terbabit.

Tambah Tuan Ibrahim, sikap memohon maaf atas kesilapan adalah akhlak terpuji yang perlu dihayati semua pihak, selari dengan tuntutan Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan tidak lagi dipolemikkan, sebaliknya dijadikan iktibar untuk memperkasakan pembinaan ummah serta mengukuhkan perjuangan dalam mendepani cabaran semasa.

“Dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut, diharapkan perkara ini menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan, meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar para sahabat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast