KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low walaupun timbul laporan mendakwa individu itu sedang berusaha mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan pihak polis, namun siasatan terhadap Jho Low masih berjalan.
“Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan. Saya melihat perkara begini agak sensitif untuk kita bincangkan.
“PDRM turut menjalankan hubungan baik dengan negara berkaitan dan masih lagi meneruskan tindakan seperti dahulu. Perkara itu masih lagi dalam perhatian dan tindakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Program Polis PDRM Special Dialogue 2026 Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini, hari ini.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, Jho Low didakwa sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu berdasarkan sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Laporan itu menyebut, jika permohonan terbabit diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS. – MalaysiaGazette
















