KUALA LUMPUR – Seorang pelajar berusia 17 tahun parah selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah van di Persimpangan Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150i dan van jenis Nissan Serena sekitar 7 pagi tadi.
“Hasil siasatan mendapati, semasa kejadian, van Nissan Serena dipandu wanita berusia 38 tahun sedang membelok ke lorong kanan dari arah Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Seri Putra menuju ke Pangsapuri Seri Melati.
“Ketika berada di tengah persimpangan, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian mudguard hadapan sebelah kiri van tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian rahang muka dan kepala, manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Hospital KPJ Ampang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Sarjan Shah Zumei Mohd Hussein di talian 010-2428670 bagi membantu siasatan.
“Pengguna jalan raya dinasihat agar sentiasa berhati-hati, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















