Kibaran perang bendera parti menghiasi di sekitar jalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Simpang Renggam, Kluang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2022.

APABILA Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklukan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan pada hari terakhir persidangan pada Khamis lalu, ramai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik nafas lega untuk seketika.

Ini kerana ada desas-desus tersebar menyatakan DUN akan dibubarkan untuk memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) ke-16 sejurus selesai bersidang.

Namun sidang DUN tersebut menjadi sangat signifikan dan historikal apabila kuasa majoriti dua pertiga kerajaan meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan.

Isu pelantikan lima ADUN itu tidak meredakan suhu politik Johor sebaliknya terus panas malah seakan menghantar isyarat bahawa PRN sudah berada di ambang formasinya – bakal menyaksikan pergolakan dramatik dalam arena politik Johor.

Spekulasi PRN Johor ditambah lagi dengan sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang diadakan di Johor Bahru dengan menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya bertemu pihak istana kelmarin.

Ia menjadikan spekulasi bahawa PRN dalam masa terdekat terus mengukuh walaupun Ahmad Zahid apabila tanya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkot Ismail, berkata; “Pertemuan ini tidak membincanngkan mengenai PRN Johor”.

Tanda PRN semakin hampir juga apabila Program Pemukiman Penerangan Pusat 2026 akan diadakan PKR selama dua hari pada Jumaat dan Khamis ini.

Ia diikuti Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang juga diadakan di Johor Bahru pada Ahad ini.

Isu PRN mencetuskan polimik antara pro dan kontra. Pihak yang mahu PRN segera diadakan sudah tentu merasakan ini masa paling sesuai selepas memberi beberapa alasan ‘munasabah’.

Sementara pihak yang menentangnya pula mengemukakan hujah politik dan antara yang rasional untuk ditimbangkan apabila kos RM200 juta dapat dijimatkan jika PRN dan pilihan raya umum (PRU) diadakan serentak.

Bagi politikus berhati serigala dan elitikus di sebalik ‘tirai emas’, PRN seperti sudah sedia dicatur untuk kepentingan dan kelangsungan kuasa.

Apa jadi dan apa rakyat sedang hadapi itu semua bukan denyut nadi yang dirasai mereka. Apa yang penting hegemoni politik diteruskan dalam pentadbiran.

Sistem politik Johor tidak ditunjangi parti politik yang huru-hara dengan ketiadaan sebuah kuasa hegemoni politik kerana ada parti yang menjadi ‘dominan’.

Konsep unipolar UMNO dalam landskap politik Johor mahu dikekalkan selepas PRN.

Sudah ada budaya kelas pemerintah walaupun Johor bukan terbentuk daripada perpaduan atau perkongsian kuasa seperti yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Menerusi risikan penulis, BN dan PH akan bertanding solo dengan masing-masing mengekalkan kerusi dimenangi pada PRN lalu.

Formula ini mahu diguna pakai supaya tidak berlaku pertembungan manakala bagi pihak pengimbang, mereka sedang mengatur untuk satu lawan satu dengan BN atau PH dan mengelak pertembungan banyak penjuru.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula akan bersama-sama Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan kerajaan negeri sedia ada.

Difahamkan setakat ini tiada memorandum persefahaman ditandatangani BN-PH atau juga bagi pihak PN-Pejuang-MUDA untuk PRN kali dan perbincangan masih dijalankan.

DUN Johor dikatakan dibubar sekitar Jun, Julai atau Ogos ini bagi memberi laluan PRN.

Namun semua itu terpulang kepada Menteri Besar Johor sama ada sudah mendapat ilham untuk membubar DUN atau ‘cahaya’ masih tidak kelihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast