MELAKA – Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berusia 50 tahun ke bawah mempunyai peluang cerah untuk dikekalkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, generasi baharu yang diketengahkan pada penggal lalu masih mampu meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat berdasarkan prestasi semasa mereka.
Bagaimanapun, tegasnya, perkara itu bukan bermakna pemimpin lama akan diketepikan, sebaliknya pemilihan calon dibuat secara menyeluruh berdasarkan prestasi, kesepakatan pasukan dan kemampuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Tak ada muka baharu, tak adalah orang lama. Semua telah berkhidmat dengan baik dan cemerlang serta menunjukkan kesepakatan dalam semangat setiakawan dan bekerja berpasukan dengan baik.
“Kalau kita tengok, semua generasi baharu yang dipilih pada penggal lepas berusia bawah 50 tahun dan mereka masih lagi boleh meneruskan khidmat yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Sambutan Hari Bomba Sedunia Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2026 di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ab Rauf menyampaikan sumbangan bernilai RM 5,000 untuk diagihkan kepada 50 pesara bomba di parlimen berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian ketika diminta mengulas proses akhir pemilihan calon PRN Melaka.
“Senarai calon dah lama saya pendekkan, saya tak pernah panjangkan nama calon ini. Jadi tunggu masa dan ketika saya akan umumkan
“Jadi, untuk memikirkan siapa yang ada, siapa yang tak ada, itu belum tiba masanya lagi,” katanya.

Ditanya adakah Melaka bersedia bergerak seiring dengan Johor sekiranya PRN diadakan serentak, beliau berkata, situasi politik setiap negeri adalah berbeza dan keputusan terbaik akan dibuat mengikut kesesuaian negeri ini.
“Suasana di Johor dan suasana di Melaka tak sama. Suasana di Melaka dan suasana di Malaysia tidak sama. Kita akan memikirkan cara yang terbaik bagaimana kita boleh berdiri di atas kaki kita sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
















