Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail melawat tapak pameran pada majlis perasmian penutupan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) edisi ke-5 (PSD V) di Sime Darby Convention Centre (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue V (PSD V) 2026 membuktikan komitmen berterusan agensi penguat kuasa itu dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak, selari dengan cabaran ancaman moden yang semakin kompleks dan sofistikated.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan PSD V kali ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian kepakaran antara agensi penguatkuasaan, pemain industri dan pakar teknologi, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh pendekatan keselamatan masa depan negara.

Menurut beliau, ancaman keselamatan moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan kini tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Hal ini amat kritikal memandangkan statistik menunjukkan jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia sahaja telah mencecah angka RM2.7 bilion bagi tahun 2025.

“Manakala kejayaan Ops Hazard 3.0 telah membongkar lebih 110 lokasi e-waste haram membuktikan betapa kompleksnya cabaran yang perlu kita tangani secara bersama.

“Tema ‘Synergized Policing: Securing the Future Together’ yang diketengahkan pada tahun ini amat bertepatan dengan realiti keselamatan global masa kini.

“Kita telah memperluaskan fokus perbincangan merangkumi ancaman keselamatan moden yang sangat membimbangkan seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik serta isu kelestarian alam sekitar,” katanya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail selepas hadir pada majlis perasmian penutupan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) edisi ke-5 (PSD V) di Sime Darby Convention Centre (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2026.

Beliau berucap pada Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di sini, hari ini.

Tambah Mohd Khalid, sepanjang dua hari persidangan berlangsung, sebanyak 31 sesi pengisian melibatkan ucaptama, perbincangan panel dan bengkel teknikal telah diadakan dengan penglibatan pemain industri, agensi penguatkuasaan, pakar teknologi dan penggubal dasar.

Menurutnya, antara topik utama yang dibincangkan termasuk evolusi teknik manipulasi psikologi dalam jenayah siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan sempadan serta strategi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah melalui risikan kewangan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berucap pada majlis perasmian penutupan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) edisi ke-5 (PSD V) di Sime Darby Convention Centre (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu lagi pencapaian penting PSD V tahun ini ialah pemeteraian memorandum perjanjian antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan PDRM dalam bidang sains forensik.

Katanya, menerusi perjanjian itu, USM menawarkan tiga tempat bagi program Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah dalam bidang sains forensik selain dua tempat dalam bidang sains sosial, pengurusan atau komunikasi dengan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya.

“Kolaborasi strategik yang terjalin sejak tahun 2016 ini merupakan manifestasi komitmen kita dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik PDRM menerusi perkongsian kepakaran, latihan profesional dan penyelidikan strategik,” katanya.

Beliau berkata, segala input dan teknologi yang dikongsikan sepanjang dialog itu akan menjadi pemangkin kepada penganjuran Asia International Security Summit & Expo 2027 yang dijadual berlangsung pada awal tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast