Shahril Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menyemak semula atau memansuhkan elaun bahan api Ahli Parlimen wajar dipertimbangkan secara serius sebagai langkah penjimatan negara ketika rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, sudah tiba masanya kepimpinan negara menunjukkan teladan melalui pendekatan berjimat cermat dan pengurusan kewangan yang lebih berhemah.

Menurut beliau, Ahli Parlimen ketika ini menerima beberapa bentuk elaun berkaitan perjalanan dan pengangkutan melibatkan elaun bahan api RM1,500 sebulan; elaun perjalanan tetap RM1,500; elaun tol RM300 serta elaun pemandu RM1,500.

Katanya, secara keseluruhan jumlah elaun berkaitan pengangkutan dan perjalanan yang diterima setiap Ahli Parlimen mencecah RM4,800 sebulan.

“Sekiranya elaun bahan api sebanyak RM1,500 sebulan bagi setiap Ahli Parlimen dimansuhkan atau dikurangkan, kerajaan berpotensi menjimatkan kira-kira RM333,000 sebulan melibatkan 222 Ahli Parlimen Dewan Rakyat.

“Dalam tempoh setahun, jumlah penjimatan tersebut boleh mencecah sekitar RM3.996 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika keseluruhan elaun berkaitan perjalanan dan pengangkutan disemak semula atau dirasionalisasikan, kerajaan pula berpotensi menjimatkan sehingga RM1.0656 juta sebulan atau sekitar RM12.7872 juta setahun.

Menurutnya, walaupun jumlah itu dilihat kecil berbanding keseluruhan perbelanjaan negara, ia tetap membawa mesej penting bahawa langkah penjimatan perlu bermula daripada peringkat kepimpinan tertinggi negara sendiri.

“Penyemakan semula elaun ini bukan bertujuan menafikan keperluan Ahli Parlimen menjalankan tugas, tetapi memastikan sistem saraan dan kemudahan sentiasa relevan, munasabah serta selari dengan keadaan ekonomi semasa.

“Bukan sahaja Ahli Parlimen, malah Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Exco Negeri dan semua kepimpinan GLC juga perlu bersama-sama merasai denyut nadi rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan kerajaan mengkaji mekanisme lebih telus dan bersasar termasuk mempertimbangkan tuntutan berdasarkan penggunaan sebenar atau keperluan kawasan Parlimen masing-masing, khususnya melibatkan wakil rakyat di kawasan luar bandar yang memerlukan perjalanan lebih jauh.

Tambahnya, rakyat kini bukan sahaja menilai dasar kerajaan, tetapi juga kesanggupan pemimpin untuk bersama-sama memikul beban dan menunjukkan integriti dalam pengurusan wang awam demi kebajikan rakyat dan pengukuhan kedudukan fiskal negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast