PUTRAJAYA – Permohonan semakan difailkan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta ditangguhkan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menangguhkan prosiding bagi membolehkan kedua-dua pihak meneliti Rakaman Transkripsi Mahkamah (CRT) berkaitan prosiding rayuan dan keputusan kes pada 5 dan 10 Februari lalu.
Mahkamah membenarkan permohonan peguam, M Athimulan yang mewakili Mohd Isa untuk mendapatkan rakaman CRT selepas timbul pertikaian berhubung prosiding mahkamah terbuka pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Hasnah berkata, mahkamah membenarkan rakaman itu diberikan kepada kedua-dua pihak demi kepentingan keadilan.
“Kedua-dua pihak perlu meneliti rakaman itu, membandingkan nota masing-masing dan memaklumkan kepada mahkamah selepas mencapai persetujuan,” katanya.
Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes.
Terdahulu, Athimulan memaklumkan pihak pembelaan tidak dapat menyediakan afidavit berhubung mitigasi kerana tidak dibenarkan memperoleh rakaman CRT berkenaan sebelum ini.
Menurutnya, terdapat dakwaan pihak pembelaan gagal mengemukakan mitigasi bagi hukuman terhadap anak guamnya sedangkan tiada permintaan dibuat oleh panel hakim ketika itu.
“Saya perlu menangani naratif pihak pendakwaan yang menyatakan kami diminta mengemukakan mitigasi. Saya percaya tiada permintaan sedemikian dan tiada arahan spesifik daripada panel,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan CRT juga tidak dibenarkan sebelum ini dan isu berkenaan telah dijawab oleh pihak-pihak terlibat.
Beliau turut menyifatkan permohonan itu sebagai tidak wajar.
Pada 10 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya pada 6 Mac 2024.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh dan memfailkan permohonan semakan itu pada 4 Mac lalu mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap beliau selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Isa Samad didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel sebagai balasan membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd pada harga RM160 juta. -MalaysiaGazette















