KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya menghalang mana-mana individu daripada membuat aduan di ibu pejabat agensi itu.
Sebaliknya agensi penguatkuasaan undang-undang itu menegaskan, semua proses kemasukan dan pengaduan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) serta kawalan keselamatan yang ditetapkan.
SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan disifatkan sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap prosedur penguatkuasaan serta tatacara keselamatan yang diamalkan oleh suruhanjaya itu.
Menurut SPRM, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.
“Setiap proses pengaduan tertakluk kepada SOP serta protokol keselamatan bagi memastikan keselamatan premis, kelancaran urusan rasmi dan perlindungan maklumat,” menurut kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa dihalang memasuki ibu pejabat SPRM di Putrajaya ketika mahu membuat laporan berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya agensi penguatkuasaan undang-undang itu, Tan Sri Azam Baki hari ini.
Kekecohan berlaku selama beberapa minit di pintu masuk bangunan berkenaan selepas berlaku pertikaian mengenai jumlah peguam yang dibenarkan menemani beliau ketika menyerahkan laporan tersebut.
Dakwa Albert, pihak SPRM hanya membenarkan seorang peguam masuk bersamanya, sedangkan beliau mahu ditemani dua peguam termasuk seorang peguam wanita.
Dalam pada itu SPRM menjelaskan, kawalan kemasukan ke premisnya merupakan amalan standard yang dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pengunjung dan tidak bersifat diskriminatif atau bertujuan menghalang mana-mana pihak daripada membuat laporan.
Menurut suruhanjaya itu, premis SPRM juga tertakluk kepada peruntukan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298] yang memperuntuk hanya individu yang mempunyai kebenaran, pas atau permit sah dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.
“Semua pengunjung turut tertakluk kepada arahan serta pemeriksaan keselamatan oleh pegawai berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM turut menafikan wujud sebarang isu gender seperti didakwa dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan.
“Pegawai yang menjalankan tugas adalah tertakluk kepada profesionalisme, etika dan tatacara siasatan yang ditetapkan di bawah undang-undang serta peraturan dalaman suruhanjaya,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Albert Tei dakwa dihalang masuk Ibu Pejabat SPRM, gagal serah laporan berkaitan Azam Baki
















