Syarikat Atong Fishing Sdn Bhd yang diwakili tiga Pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 73; Cheng Thee Yong, 49 dan Cheng Thee How, 46 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini kerana seleweng minyak diesel bersubsidi

KUANTAN – Sebuah syarikat pemborong dan pembekal hasil laut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini di atas 164 pertuduhan menyeleweng minyak diesel bersubsidi bernilai anggaran lebih RM3.3 juta.

Syarikat Atong Fishing Sdn Bhd yang diwakili tiga Pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 73; Cheng Thee Yong, 49 dan Cheng Thee How, 46 sebagai Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Menurut kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa tanpa lesen borong, telah berurusan membeli secara borong barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu lebih dua juta liter minyak diesel bersubsidi daripada Persatuan Nelayan Kawasan Rompin.

Berdasarkan resit rasmi persatuan terbabit, pecahan jumlah pembelian yang terlibat adalah bermula sekitar RM9,900 iaitu nilai bagi 6,000 liter minyak diesel bersubsidi sehingga RM101,755.55 iaitu nilai bagi 61,670.03 liter minyak diesel bersubsidi.

Berikutan itu, syarikat tersebut didakwa telah melanggar Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Subperaturan 21 (1) Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, syarikat berkenaan sebagai pemegang Permit Barang Kawalan Berjadual turut didakwa melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel bersubsidi itu melebihi kuantiti yang dibenarkan.

Bagi kesalahan tersebut, syarikat itu telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM2 juta.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Feri Lama, Kampung Tanjung Gemuk, Kuala Rompin dalam tempoh bermula pada 8 Januari 2024 sehingga 13 Januari 2025.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN), Mohd Sophian Zakaria, Munirah Shamsudin@Baharum dan Nor Amri Mohamad Nawi, manakala syarikat itu diwakili Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi.

Hakim Sazlina kemudian memutuskan wang ikat jamin RM45,000 bagi setiap OKS dengan masing-masing seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat KPDN Pahang setiap bulan serta menyerahkan pasport antrabangsa kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.

Beliau turut menetapkan tarikh 4 Jun depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast