Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera di bawah seliaan masing-masing sehingga penghujung tahun ini bagi membantu meringankan beban peniaga kecil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan kesinambungan usaha proaktif Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan rakyat yang berdepan peningkatan kos operasi ketika ini.

Menurut beliau, KPKT turut menyambut baik cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) agar PBT membantu peniaga yang menyewa premis di bawah seliaan masing-masing melalui pemberian insentif bersesuaian.

“Langkah strategik ini bertujuan untuk meringankan beban kos operasi yang ditanggung oleh penjaja dan peniaga kecil tempatan, sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga mampu membantu memastikan kesinambungan operasi perniagaan, mengekalkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi komuniti setempat.

“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan sahaja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai tindakan beberapa PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah mengumumkan pengurangan kadar sewaan sehingga 50 peratus melibatkan premis dan gerai tertentu di bawah seliaannya.

Menurutnya lagi, langkah tersebut melengkapkan pelbagai usaha Kerajaan MADANI dalam membantu komuniti peniaga kecil termasuk penyediaan kemudahan perniagaan yang lebih kondusif, penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan inisiatif MyKiosk.

Tambah beliau, kerajaan turut melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menangani kos sara hidup rakyat melalui pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta inisiatif BUDI MADANI termasuk BUDI Diesel dan BUDI95.

“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Kita mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara serta terus menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, KPKT akan terus bekerjasama rapat dengan semua PBT bagi meneliti kaedah pelaksanaan yang bersesuaian mengikut kemampuan kewangan dan keperluan setempat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast