BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menangguhkan keputusan hukuman terhadap seorang lelaki etnik Rohingya yang mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan senegaranya sehingga lumpuh separuh badan kanan.
Hakim Roslan Hamid menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes selepas pihak pendakwaan memaklumkan laporan perubatan penuh mangsa masih belum diperoleh.
Terdahulu, Mohd Rofik Syukur Mohd, 39, sekali lagi dibawa ke mahkamah dan pertuduhan dibacakan dengan bantuan jurubahasa bahasa Myanmar sebelum dia mengekalkan pengakuan bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim kemudian memohon tarikh baharu bagi mendapatkan laporan perubatan lengkap mangsa memandangkan pihaknya setakat ini hanya mempunyai laporan pemeriksaan awal.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki mengaku salah pukul rakan hingga lumpuh separuh badan
MalaysiaGazette semalam melaporkan mahkamah menetapkan hari ini bagi sebutan fakta kes dan hukuman selepas mengambil kira keperluan jurubahasa Myanmar bagi memastikan tertuduh memahami prosiding dengan jelas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Shaiful Islam, 42, menggunakan sebatang kayu penggali tanah yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata serangan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi berhampiran IKS Pala Bukit Tengah dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada jam 8.55 pagi, 4 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
MalaysiaGazette difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang makan ketika kedua-duanya tinggal bersama sebagai rakan serumah.
Akibat serangan itu, mangsa dilaporkan mengalami luka koyakan di kepala, pendarahan otak, retakan tengkorak serta lumpuh separuh badan sebelah kanan. – MalaysiaGazette
















