KUALA LUMPUR – Penggunaan trak elektrik (EV) di Malaysia masih belum meluas apabila jumlah kenderaan itu yang sedang beroperasi di negara ini dilaporkan masih kurang daripada 10 unit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, antara faktor utama yang menghalang peralihan kepada trak EV ialah kos pembeliannya yang jauh lebih tinggi berbanding trak diesel biasa.
Menurut beliau, harga sebuah trak EV ketika ini boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih mahal, sekali gus menyukarkan pengusaha industri untuk beralih kepada teknologi tersebut.
“Kerajaan sedang melihat bentuk insentif yang sesuai termasuk dari segi cukai bagi membantu merendahkan kos pembelian trak EV.
“Berdasarkan data JPJ, jumlah trak EV yang sedang digunakan di Malaysia sekarang masih tidak sampai 10 unit dan kebanyakannya digunakan untuk tujuan percubaan oleh syarikat pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Foton Aumark S Euro 5 AMT sempena Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), di sini hari ini.
Anthony berkata, kerajaan juga perlu memastikan ekosistem pengecasan diperkukuhkan kerana kemudahan stesen pengecas masih menjadi cabaran utama dalam memperluaskan penggunaan trak EV di negara ini.
Katanya, Malaysia juga perlu bergerak seiring dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 yang melibatkan pelbagai sektor termasuk pengangkutan darat, penerbangan dan maritim.
“Sekarang sudah 2026, jadi kita hanya ada kira-kira 24 tahun lagi untuk capai sasaran sisa karbon. Sebab itu semua sektor perlu mula melihat bagaimana untuk mengurangkan pelepasan karbon,” katanya. – MalaysiaGazette
















